Kerajaan hargai sumbangan syarikat telco kepada mangsa kebakaran di Putra Heights

Oleh: Sholina Osman
9 APRIL 2025

Kementerian Komunikasi mengalu-alukan sumbangan daripada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) yang terdiri daripada CelcomDigi, Maxis, TM Unifi, U Mobile dan YES dalam menawarkan bantuan dan sokongan pemulihan kepada mangsa-mangsa yang terkesan berikutan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights bagi tujuan meringankan beban kewangan.

Kenyataan media Kementerian Komunikasi memaklumkan antara bantuan dan sokongan pemulihan yang diberikan adalah pengecualian bayaran perkhidmatan (prabayar dan pascabayar) bagi tempoh tertentu, penggantian peralatan dan penukaran kad sim secara percuma kepada pelanggan yang terjejas serta perkhidmatan wi-fi 5G secara percuma di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Putra Heights.

PELANGGAN YANG TERJEJAS

“Penawaran bantuan sokongan dan pemulihan telekomunikasi kepada pelanggan yang terjejas adalah mengikut keperluan dari semasa ke semasa dan berbeza mengikut syarikat telco (tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan),” kata kenyataan itu.

Sumbangan ini membuktikan keprihatinan syarikat telco terhadap kesejahteraan pelanggan yang terkesan, selari dengan nilai ihsan dalam Kerajaan MADANI yang
menitikberatkan soal kebajikan rakyat.

Maklumat lanjut mengenai bantuan ini boleh diperolehi dengan mengunjungi kaunter bergerak syarikat telco yang dibuka di PPS, atau menghubungi talian utama (hotline) syarikat telco yang berkaitan, atau hadir ke mana-mana cawangan telco yang
berdekatan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *