Polis Kangar tahan ibu kandung disyaki dera anak guna gunting ikan

Oleh: Sholina Osman
9 APRIL 2025

Polis Kangar menahan seorang ibu berusia 33 tahun kerana dipercayai mendera anak kandung berusia 11 tahun dengan menggunakan gunting ikan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, mangsa mengalami luka pada bahagian belakang badan, leher, kaki dan tangan akibat digigit dan dicucuk yang dipercayai menggunakan gunting ikan.

Beliau berkata, Guru Besar di sebuah sekolah rendah di Jitra menyedari sesuatu telah berlaku ke atas mangsa yang berketurunan Siam ini apabila lewat sampai ke sekolah.

“Guru Besar ini kemudiannya telah membuat laporan polis berhubung penderaan ke atas mangsa pada pukul 12.12 tengah hari pada 7 April 2025,” katanya dalam kenyataan media.

HASIL LAPORAN PEMERIKSAAN

Beliau berkata, hasil laporan pemeriksaan doktor di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis telah mengesahkan terdapat kesan luka pada bahagian belakang badan, leher, kaki dan tangannya akibat digigit dan dicucuk dipercayai menggunakan gunting ikan.

Katanya, mangsa kini ditahan di wad HTF bagi rawatan susulan.

Yusharifuddin berkata, pada pukul lebih kurang 1.30 pagi pada 8 April 2025, bertindak atas maklumat OP Jejak/Kesan telah menahan suspek yang merupakan seorang China mualaf berhampiran jejambat Titi Kerbau, Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis.

GUNTING BERHULU KUNING

Beliau berkata, turut dirampas sebuah telefon jenis Iphone 12 warna merah, sekeping sim card Tune Talk dan sebilah gunting berhulu kuning dalam anggaran 12 sentimeter (cm) yang digunakan semasa kejadian.

Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) AKK 2001 di mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, suspek telah direman selama empat hari mulai 8 April hingga 11 April 2025 bagi siasatan lanjut. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *