




Oleh: Sholina Osman
9 APRIL 2025
Jabatan Pengangkutan Perlis (JPJ) Perlis bertindak menahan tiga pemandu kereta “prebet sapu” yang menggunakan Stesen Keretapi Arau sebagai “port” untuk mengambil penumpang secara haram pada 5 April lalu.
Pengarahnya, Noraini Mohd Nawi berkata, proses pendakwaan akan dilaksanakan pada Julai 2025 setelah semua dokumentasi siasatan selesai.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota penguatkuasa JPJ Perlis telah mengambil tindakan proaktif untuk menyiasat perkara ini sehingga membawa kepada penangkapan tiga pemandu “prebet sapu” ini.
“JPJ memandang serius kegiatan “prebet sapu” sebelum ia menular di negeri ini kerana perkhidmatan haram
ini tidak menjamin keselamatan penumpang jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya pada sidang media.
PADA PENUTUP OPS
Terdahulu Noraini hadir pada penutup Ops Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 mulai 24 Mac 2025 sehingga 08 April 2025 yang bertemakan “Pandu Selamat , Sampai Selamat”, di Jalan Kampung Bakau, Kangar, malam tadi.
Noraini berkata, hasil siasatan itu dipercayai pemandu “prebet sapu” ini menumpukan pelajar sebagai penumpangnya.
“Harga bayaran yang dikenakan untuk perjalanan dari Arau ke Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah antara RM30 hingga RM50,” katanya.
MENGGENAKAN BAYARAN RM10
Katanya, kes “prebet sapu” juga dikesan berlaku di Stesen Keretapi Padang Besar di mana menggenakan bayaran RM10 hingga RM15 untuk menghantar penumpang ke Arked Niaga Padang Besar.
Noraini menasihatkan penumpang supaya pilih e-Hailing atau pengangkutan awam bagi perjalanan yang selamat.
Sementara itu sempena Ops HRA 2025, Noraini berkata sebanyak 1,341 notis dikeluarkan oleh JPJ Negeri Perlis.
TIADA LESEN MEMANDU
“Empat kenderaan disita iaitu tiga motosikal dan sebuah kereta kerana tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans,” katanya.
Tambahnya, sepanjang operasi ini, sebanyak enam kes telah dilaporkan melalui aplikasi MyJPJ.
“Di antara kesalahan yang diadukan oleh orang awam adalah dua kes
memotong garisan berkembar, dua kes gagal patuhi peraturan lampu isyarat merah serta masing-masing satu kes kerana memotong barisan dan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan (Fancy),” katanya. – JM
