MCMC pastikan perkhidmatan komunikasi sekitar kebakaran di Putra Heights, PPS stabil

Oleh: Sholina Osman
9 APRIL 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) telah bertindak dalam memastikan perkhidmatan komunikasi di sekitar Putra Heights dan beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) kekal stabil
susulan insiden kebakaran saluran gas yang berlaku pada pagi Selasa, 1 April 2025 lalu.

Kenyataan media MCMC memaklumkan insiden tersebut telah menjejaskan sembilan struktur telekomunikasi di sekitar kawasan kejadian — satu milik CelcomDigi, dua milik Maxis, dan enam milik U Mobile.

Semua struktur ini mengalami gangguan bekalan elektrik.

Hasil tindakan pemulihan segera oleh syarikat penyedia perkhidmatan
(Telco), semua perkhidmatan berjaya dipulihkan sepenuhnya pada hari yang sama.

KESINAMBUNGAN PERKHIDMATAN INTERNET

Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan Internet kepada para petugas dan mangsa yang berlindung di PPS Masjid Putra Heights, pihak Telco telah mengambil langkah segera dengan mengoptimumkan struktur sedia ada untuk memenuhi peningkatan keperluan perkhidmatan.

Selain itu, sebuah unit Mobile Cellular Vehicle (MCV) turut digerakkan ke lokasi bagi meningkatkan lagi kualiti liputan di kawasan berkenaan.

Pada masa yang sama, Telekom Malaysia (TM) telah menyediakan kemudahan WiFi percuma di dua lokasi PPS sebagai langkah tambahan.

SOKONGAN KEPADA MANGSA

Sebagai sokongan kepada mangsa yang terkesan, pihak Telco kini sedang giat berhubung dengan pelanggan mereka bagi menawarkan bantuan seperti penggantian kad SIM dan peranti yang rosak, penyelarasan bil serta membuka kaunter perkhidmatan khas di lokasi PPS untuk memudahkan urusan mereka.

MCMC akan terus memantau secara rapi dan bekerjasama dengan semua pihak terlibat bagi memastikan kualiti perkhidmatan komunikasi kekal pada tahap terbaik khususnya kepada mangsa yang berlindung di PPS. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *