




11 APRIL 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Gabenor Guangxi, Lan Tianli dan delegasinya sekaligus mencerminkan hubungan yang mendalam dan terjalin lama antara Malaysia dan China.
Beliau berkata, Guangxi adalah rakan wilayah yang penting selain sebagai pintu masuk China ke ASEAN.
“Guangxi memainkan peranan penting dalam memudahkan perdagangan dan pelaburan dua hala,” katanya dalam hantaran di FB.
Perdana Menteri berkata, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia untuk tahun ke-16 berturut-turut pada 2024 dengan jumlah dagangan mencecah USD106.04 bilion (RM484.12 bilion).
PERDAGANGAN DUA HALA
“Saya maklumkan bahawa Malaysia menantikan Lawatan Negara Presiden Xi Jinping yang dijadualkan pada 15-17 April ini, justeru kami turut bertukar pandangan antaranya terkait dengan potensi perdagangan dua hala meliputi ASEAN termasuklah pengukuhan kerjasama AI dan Digital,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga mempunyai sasaran untuk menjadi hab kepimpinan kecerdasan buatan (AI) serantau dan menjemput perusahaan AI terkemuka China untuk mempertimbangkan untuk menubuhkan ibu pejabat serantau mereka di sini.
Selain itu, katanya, kedua pihak juga turut menyentuh usaha-usaha memajukan Inisiatif “Dua Negara, Taman Berkembar” melibatkan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), dimana terus menunjukkan kemajuan positif dengan 19 projek diluluskan bernilai RM25.68 bilion dengan jangkaan pewujudan lebih 10,000 peluang pekerjaan.
Sehingga kini, katanya RM20.77 bilion telah direalisasikan dengan 7,572 pekerjaan telah diwujudkan hatta ini menunjukkan manfaat ketara kerjasama Taman Berkembar kepada ekonomi dan tenaga kerja Malaysia.
“Moga hubungan diplomatik Malaysia dan China terus berada pada tahap matang sehingga mampu menghadapi sebarang isu dan cabaran mendatang,” ujarnya lagi. – JM
