






Oleh: Sholina Osman
11 APRIL 2025
Sebanyak 10,246 sekolah rendah dan sekolah menengah seluruh negara disasarkan terlibat dalam Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kenyataan media MCMC memaklumkan ia melibatkan penyertaan oleh para pelajar, guru, ibu bapa dan anggota komuniti sekolah seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Kempen ini bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai kepentingan keselamatan dalam talian serta melindungi diri daripada ancaman siber,” kata kenyataan itu.
LOKASI PERTAMA PELANCARAN
Terdahulu Sekolah Kebangsaan (SK) Bidor 2, Perak menjadi lokasi pertama pelancaran Kempen Internet Selamat.
Turut diadakan jugq pelantikan Ikon Internet Selamat kepada wakil pelajar.
Pada majlis ini juga dilakukan penyerahan modul ‘Internet Selamat’ oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak, Mohd Azlan Helmi kepada Guru Besar SK Bidor 2, Siti Saripah Undar.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya.
KESELAMATAN DALAM TALIAN
Kempen ini memberi pendedahan berkenaan keselamatan dalam talian, khusus kepada kumpulan sasar mengikut umur dan peranan.
Antara modul yang diketengahkan ialah had umur penggunaan media sosial dan penerangan tentang larangan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun memiliki media sosial; risiko dan ancaman media sosial kepada kanak-kanak seperti buli siber; eksploitasi dan penganiayaan seksual dalam talian; ucapan kebencian serta peranan ibu bapa dan penjaga dalam melindungi anak-anak.
Kerajaan MADANI komited dalam memerangi ancaman siber serta memastikan Internet selamat digunakan oleh segenap lapisan masyarakat seiring dengan nilai kesejahteraan Malaysia MADANI. – JM
