






14 APRIL 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sumbangan sebanyak RM4 juta bagi pembinaan baharu Masjid Gong Chapa Temila, Pasir Puteh.
Selain itu, peruntukan sebanyak RM800,000.00 untuk penyiapan Masjid At-Taqwa, Mukim Beris Pak Pura, Bachok.
“Semoga sumbangan ini dapat dimanfaatkan untuk ahli kariah setempat,” katanya pada hantaran di FB.
Terdahulu beliau hadir pada Mesyuarat Pembangunan Negeri (MPN) di Kota Bharu.
PELBAGAI LAPISAN MASYARAKAT
Perdana Menteri dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nasiruddin Daud kemudiannya bersama-sama hadir dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pantai Irama, Bachok bersama pelbagai lapisan masyarakat tempatan.
Ketika berucap di majlis berkenaan, Perdana Menteri menitipkan pesanan dan harapan Kerajaan MADANI ini untuk terus bekerja demi semua, termasuk rakyat di Kelantan meski berdepan gelora politik antarabangsa dan perkembangan ekonomi dunia.
“Situasi ini pasti akan memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada negara dan juga rakyat terbanyak termasuk di Kelantan, namun usaha meneruskan projek pembangunan tidak akan terhenti melalui hubungan persaudaraan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri demi kemaslahatan rakyat,” katanya.
MELICINKAN LAGI PROJEK
Sementara itu ketika menghadiri MPN yang disertai Menteri Besar, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta para pegawai kanan Persekutuan dan Negeri, beliau singgung kepentingan memperhebat dan melicinkan lagi projek rakyat yang menjadi keutamaan, khususnya untuk impak pembangunan ekonomi dan kemajuan bersama-sama.
“Perbincangan terarah kepada faktor yang boleh dipertimbang dalam menyegerakan projek seperti rancangan tebatan banjir supaya tidak membebankan rakyat sehingga melibatkan penambahan kos serta kerugian kewangan,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan, perlunya pemantauan pelaksanaan projek, termasuk status ‘projek sakit’ supaya siap dalam tempoh ditetapkan hatta mencapai prestasi yang membanggakan. – JM
