MCMC ambik tindakan segera teguran Menteri Komunikasi tingkatkan kualiti liputan DUN Ayer Kuning

Oleh: Sholina Osman
14 APRIL 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan segera ekoran teguran Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengenai masalah liputan Internet dan telekomunikasi yang tidak memuaskan di 27 lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Sehubungan dengan itu, dalam kenyataan media MCMC memaklumkan beberapa langkah proaktif telah diambil oleh penyedia
perkhidmatan telekomunikasi seperti yang diarahkan oleh MCMC bagi
memastikan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan DUN Ayer Kuning dan lokasi tumpuan Pilihan Raya Kecil (PRK) berada pada tahap memuaskan.

Beberapa lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan keutamaan antaranya Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah; 21 Pusat Mengundi di sekitar DUN Ayer Kuning;
Pusat Media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang; dan
Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning dan NADI PPR Sri
Bidor.

Setakat pukul 6 petang semalam, semua penyedia perkhidmatan iaitu CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan
terkini yang ditambah baik kepada MCMC.

PENGOPTIMUMAN STESEN PEMANCAR

Antara inisiatif penambahbaikan yang
telah dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada; pemasangan pemancar sementara; dan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan.

Selain itu, Kaunter Aduan MCMC turut dibuka di Pejabat Penerangan Daerah
(PPD) Batang Padang, Tapah dari 12 hingga 26 April 2025 bagi mendekati
masyarakat setempat.

Kaunter tersebut beroperasi setiap hari bermula pukul 9 pagi
hingga pukul 9 malam bagi menerima sebarang aduan berkaitan telekomunikasi, pos, dan isu lain di bawah bidang kuasa MCMC.

MCMC akan terus memantau prestasi liputan secara harian dan akan
menyampaikan sebarang aduan baharu terus kepada penyedia perkhidmatan untuk tindakan segera.

Sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan terhadap arahan ini akan dikenakan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang terpakai. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *