UniMAP terus melonjak Kebolehpasaran Graduannya kepada 98.9% tahun 2024

Oleh: Sholina Osman
14 APRIL 2025

 
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus melonjak dengan cemerlang bagi kebolehpasaran graduannya apabila mencatatkan Kadar Kebolehpasaran Graduan (Graduate Employability – GM) sebanyak 98.9 peratus bagi tahun 2024 berbanding 97.7 peratus pada 2023.
 
Ia berdasarkan kepada data yang dikeluarkan menerusi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pada kadar tersebut ia merangkumi graduan yang telah bekerja, melanjutkan pengajian, mengikuti program peningkatan kemahiran, serta mereka yang sedang menunggu penempatan pekerjaan.
 
Dalam masa yang sama, Kadar Bekerja Graduan (Graduate Employment – GE) UniMAP juga mencatat tahap yang tinggi, iaitu sebanyak 98.8 peratus di mana ini jelas menunjukkan majoriti graduan UniMAP yang berada dalam tenaga buruh telah berjaya mendapat pekerjaan sekaligus jumlah peratusan ini adalah tertinggi dicatatkan UniMAP sejak penubuhan pada 2002.

HASIL USAHA BERTERUSAN UNIVERSITI
 
Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, pencapaian ini adalah hasil usaha berterusan universiti dalam menyediakan pendidikan berasaskan keperluan industri, selain memperkukuh hubungan strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk sektor industri, agensi kerajaan dan komuniti.
 
“UniMAP sentiasa komited untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga kompeten, berketrampilan dan bersedia untuk bersaing dalam pasaran kerja yang mencabar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
 
Beliau turut menambah bahawa pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di peringkat universiti termasuk penawaran program-program berteraskan TVET, kerjasama erat dengan rakan industri, latihan praktikal yang menyeluruh, serta bimbingan kerjaya secara berterusan kepada para pelajar.
 
Pencapaian ini sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan UniMAP sebagai antara institusi pendidikan tinggi awam yang berjaya dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan relevan dengan kehendak pasaran semasa. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *