

Oleh: Sholina Osman
15 APRIL 2025
Akibat “phone scam” seorang kontraktor wanita berusia 68 tahun terpaksa berputih mata apabila duit RM1.4 juta miliknya lesap.
Perkara ini didedahkan oleh Ketua Polis Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah setelah mangsa membuat laporan polis semalam (14 April 2025) setelah menyedari dirinya telah diperangkap “phone scam”
“Pada 14 April 2025, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Padang Besar, Perlis telah menerima
laporan kes penipuan telefon atau “phone scam”,” katanya dalam kenyataan media.
Mohd Shokri berkata, ia melibatkan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis sehingga mangsa mengalami kerugian RM1,448,000.
MEMBUKA KERTAS SIASATAN
Sehubungan itu, katanya pihaknya telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kes ini.
Dalam laporan itu, kata beliau, pada pukul 8.16 pagi, 12 Mac 2025, mangsa seorang kontraktor wanita berusia 68 tahun telah menerima panggilan telefon daripada seorang wanita kononnya wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Cyberjaya.
“Mangsa telah dimaklumkan oleh penyamar bahawa beliau didapati terlibat dalam kes penipuan berjumlah RM200,000,” katanya.
MEMBUAT LAPORAN POLIS
Mohd Shokri berkata, panggilan itu kemudiannya disambungkan ke Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak untuk membuat laporan polis, di mana mangsa berhubung dengan lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis.
“Suspek memaklumkan bahawa nombor telefon mangsa didapati terlibat dengan kes pengedaran dadah dan menjumpai kad ATM milik mangsa,” kata Mohd Shokri.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya diarahkan untuk membeli kad SIM dan membuka dua akaun bank untuk tujuan siasatan.
MENINGGALKAN KAD SIM
Kemudian pada 13 Mac 2025, kata Mohd Shokri, mangsa diminta untuk meninggalkan kad SIM, kad ATM dan nombor PIN di lokasi tertentu di Tasik Melati, Beseri, Perlis.
“Pada 17 Mac 2025, mangsa diarahkan untuk memindahkan wang ke dalam akaun yang telah dibuka dengan sepuluh transaksi,” katanya.
Bagaimanapun pada 14 April 2025, katanya mangsa telah menyedari bahawa transaksi itu meragukan dan membuat laporan polis.
Berikutan itu Polis Daerah Padang Besar menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila menerima panggilan yang memaklumkan maklumat peribadi atau akaun bank terlibat dalam kes jenayah. – JM
