Bertandanglah ramai-ramai ke Perlis meraikan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan YTSP Perlis
14 APRIL 2025

Bertandanglah beramai-ramai ke Perlis untuk bersama-sama rakyat negeri ini bagi meraikan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Demikian menurut kenyataan media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis yang diadakan di Amari Hotel, Pulau Pinang baru-baru ini.

Berkenan berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda Baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Titah Raja Muda, selain acara utama iaitu Majlis Santapan Malam DiRaja yang akan diadakan di Istana Arau pada 17 April melibatkan tetamu-tetamu diraja dari seluruh negara, program-program lain yang diaturkan termasuklah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan, Persembahan Orkestra Diraja serta Program Sisipan Khas oleh Tentera Darat Malaysia’.

TARIKAN BAGI PENGUNJUNG

Menurut Penyelia Makanan Restoran Amaya Food Galery di hotel berkenaan iaitu Muizzuddin Ismail dan Pembantu Pengurus Restoran, Norfazli Zainudin menu Kurma Daging Perlis ini yang diaturkan oleh YTSP Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) serta hotel ini telah menjadi satu tarikan bagi pengunjung di Amari Hotel untuk Buffet Ramadan baru-baru ini bagi merasa sendiri masakan istimewa Perlis sempena promosi kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menyarankan agar mempromosikan makanan identiti Negeri Perlis sepanjang tahun bagi merancakkan industri pelancongan negeri ini.

Untuk rekod, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah dimasyhurkan sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000 selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Pada tanggal 7 Mei 2001, satu istiadat Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah disempurnakan di Istana Arau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *