







Petikan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
17 APRIL 2025
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Istiadat Sambutan Negara Sempena Lawatan Negara Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping, di Istana Negara pada hari ini (16 April).
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Sri Fadzilah Yusof serta Menteri-Menteri Kabinet.
Ini merupakan lawatan negara kedua Presiden Xi Jinping ke Malaysia selepas kali terakhir pada tahun 2013.
Lawatan Negara Presiden Xi Jinping yang turut diiringi menteri-menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan China adalah di atas jemputan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
LAGU KEBANGSAAN NEGARA
Istiadat sambutan negara yang diadakan di Dataran Kawad Istana Negara dimulakan dengan lagu kebangsaan negara China dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli tembakan meriam 21 das dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.
Presiden Xi Jinping kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Perdana Sungai Besi, diketuai Mejar Mohamad Waqiyudin Abd Rahman.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengadakan pertemuan bersama Presiden Xi Jinping serta deligasi China dengan menyaksikan majlis persembahan cendera kenangan di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara.
Presiden Xi Jinping bersama deligasi turut diraikan serta diberi penghormatan pada majlis Jamuan Negara dengan keberangkatan bersama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Santapan Utama. – JM
