

17 APRIL 2025
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memandang serius insiden penerbitan imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa simbol bulan sabit oleh akhbar Sin Chew Daily pada 15 April 2025.
Beliau berkata, simbol bulan sabit bukan sekadar rekaan grafik – ia membawa makna besar sebagai lambang Islam sebagai agama Persekutuan.
“Kecuaian ini bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi turut berisiko menggugat keharmonian masyarakat majmuk negara kita,” katanya dalam hantaran di FB.
SIASATAN SERTA-MERTA
Saifuddin berkata, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan siasatan serta-merta di bawah Akta Lambang dan Nama (Akta 414) serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Akta 301).
Beliau berkata, pihak Sin Chew Daily juga telah dipanggil dan diberi Surat Tunjuk Sebab.
“Sebagai penjaga keselamatan dan ketenteraman awam, KDN tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perbuatan yang menjejaskan simbol kedaulatan dan perpaduan negara,” katanya. – JM
