Isu Myanmar: PMX bertemu secara maya dengan U Mahn Win Khaing Than

19 APRIL 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan maya selama 40 minit bersama U Mahn Win Khaing Than daripada Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar, bagi membicarakan soal keperluan kemanusiaan yang semakin mendesak.

Beliau berkata, perbincangan ini termasuk usaha memastikan bantuan disampaikan secara berkesan kepada mereka yang paling terjejas.

“Kami turut bertukar pandangan mengenai kepentingan meneruskan dialog sebagai sebahagian daripada usaha ke arah perdamaian,” katanya dalam hantaran di FB.

Perdana Menteri berkata, U Mahn Win Khaing Than telah menyatakan kesediaan untuk mengadakan pertemuan secara fizikal di Malaysia pada waktu yang sesuai.

DIALOG INI BERLANGSUNG

Sepertimana perbincangan beliau bersama Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar sebelum ini, dialog ini berlangsung dalam suasana yang terbuka dan membina.

“Keterlibatan kami dengan kedua-dua pihak diterima tanpa bantahan,” katanya.

Saat ini katanya, usaha membina kepercayaan kekal keutamaan dan proses ini perlu terus diterajui di bawah kerangka ASEAN.

DENGAN SEMUA PIHAK

“Kita akan meneruskan usaha rundingan dan dialog ini dengan semua pihak demi keamanan, perdamaian dan kesejahteraan rakyat Myanmar,” katanya.

Sebelum itu Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan bersama kumpulan penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra.

Beliau berkata, perbincangan yang mendalam ini membuka ruang untuk mereka bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau, termasuk percambahan idea ke arah menjamin keamanan yang berpanjangan Myanmar sebagai prasyarat penting dalam memastikan akses bantuan kemanusiaan yang berterusan kepada rakyatnya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *