Murid pakai lencana Jalur Gemilang mulai Isnin ini – Fadhlina

19 APRIL 2025

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, mulai hari Isnin minggu hadapan, murid di semua jenis sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan mula memakai lencana Jalur Gemilang pada baju seragam masing-masing.

Beliau berkata, setiap murid akan dibekalkan dua pin lencana Jalur Gemilang secara percuma.

“Semoga inisiatif ini akan menyemai semangat patriotisme dan rasa cinta akan negara dalam diri setiap murid sedari awal lagi bagai kata peribahasa, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’,” katanya dalam hantaran di FB.

Sebelum itu, Fadhlina melahirkan rasa bangga dan terharu sewaktu memakaikan lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid ada acara Pemakaian Lencana Jalur Gemilang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas.

YAKIN PERASAAN SAMA

“Saya yakin perasaan sama turut dirasai oleh Timbalan Speaker Pulau Pinang, Datuk Azrul Mahathir Aziz, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang turut hadir bersama-sama pada acara ini,” katanya.

Katanya, anak-anak yang disematkan lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam mereka juga tampak gembira memakainya.

“Manakan tidak, jika sebelum ini kita sering menonton di kaca televisyen bagaimana jaguh sukan negara seperti Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Azizulhasni Awang berbangga dengan lencana Jalur Gemilang di dada masing-masing, kini nyala rasa tersebut dapat juga dihayati semua murid. Kitakan anak Malaysia!,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *