




19 APRIL 2025
Kesedaran individu, tahap kefahaman dan keprihatinan terhadap isu sosial, nilai moral, dan tanggungjawab sebagai warganegara, menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang progresif dan negara yang sejahtera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan perkara tersebut ketika berkongsi pandangan dalam Forum Ilmuan Madani (FIM) Siri 5 malam tadi.
Beliau berkata, perubahan bermula dari diri sendiri sebelum mampu memberikan kesan besar kepada negara secara menyeluruh.
“Elemen kesedaran dalam masyarakat ini perlu mengambil kira perubahan dunia semasa, termasuk kecanggihan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) yang banyak mempengaruhi masyarakat dari segi kemajuan dan gaya hidup,” katanya dalam hantaran di FB.
KAWALAN DAN PENYESUAIAN
Namun katanya, teknologi ini memerlukan kawalan dan penyesuaian agar manfaatnya dapat dinikmati secara adil dan beretika.
Justeru, apabila beliau mencadangkan penubuhan Fakulti AI, ia adalah satu langkah penting dan selari dengan arus perubahan dunia, yang menuntut kebersamaan semua pihak agar mampu dan bersedia menghadapi cabaran mendatang.
Di akhir majlis, beliau menitipkan pesanan bahawa lonjakan dan perubahan adalah kunci sekiranya ingin membentuk sebuah negara yang benar-benar maju. – JM
