






Oleh: Sholina Osman
19 APRIL 2025.
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (AW) berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah bagi Pertandingan Sukan Antara Rejimen Siri 500 AW Zon Utara Tahun 2025.
Pada tahun ini Rejimen 504 AW dari Perlis menjadi tuan rumah bagi pertandingan sukan tersebut.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji; Timbalan Komander Rejimen 513 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Kamarulrazaimi Abd Razak; dan Timbalan Komander Rejimen 509 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohamad Zunaidi Atimin.
Hadir sama ialah Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli.
SELAMA TUJUH HARI
Pertandingan yang diadakan di Kem Bukit Keteri itu berlangsung selama tujuh hari.
Sebelum separuh masa kedua perlawanan akhir bola sepak bermula, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan simbolik sepak mula.
Sejurus tamat perlawanan akhir bola sepak, Raja Muda turut berkenan meluangkan masa untuk sesi berfoto kenangan bersama para peserta yang hadir.
Bagi pertandingan bola tampar ia dijuarai oleh Rejimen 504 AW dari Perlis manakala bola sepak pula dijuarai oleh Rejimen 513 AW dari Kedah.
Pertandingan Sukan Antara Rejimen Siri 500 AW Zon Utara ini bukan sahaja menjadi platform untuk meningkatkan kecergasan fizikal dan semangat berpasukan dalam kalangan anggota AW, malah turut mempereratkan lagi hubungan silaturahim antara warga AW di peringkat zon dan seterusnya seluruh negara. – JM
