Program MCMC Microsoft AI TEACH dilancar

Oleh: Sholina Osman
19 APRIL 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Microsoft Malaysia serta rakan strategik Universiti Sains Malaysia (USM) telah melancarkan program MCMC Microsoft AI TEACH.

Kenyataan media MCMC memaklumkan program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi USM Profesor Dr. Habibah A. Wahab di Dewan Pembangunan Siswa, Kompleks Cahaya Siswa, USM.

Majlis pelancaran program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi USM Profesor Dr. Habibah A. Wahab.

Hadir sama Ketua Pegawai Sektor Pembangunan Industri MCMC, Muhammad Razali Anuar; Pengarah Negeri MCMC Pulau Pinang, Mohd Fitri Hashim; Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Shukeri A. Rahaman; Pegawai Tadbir PERKESO Georgetown, Nurul Atikah Samelan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Biji-biji Initiative, Rashvin Pal Singh.

MENYASARKAN 150 PELAJAR

Program ini menyasarkan 150 pelajar penerima inisiatif Siswa Sulung di USM.

Siswa Sulung merupakan inisiatif oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dibangunkan khas untuk menyokong pelajar generasi pertama dalam keluarga B40 melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Matlamat utama ialah untuk memutuskan rantaian kemiskinan melalui kuasa pendidikan dan
kemahiran masa hadapan.

Pemilihan pelajar dibuat secara teliti berdasarkan beberapa kriteria seperti
pendapatan isi rumah dalam kategori B40, latar belakang sosioekonomi, serta kemampuan pemilikan aset oleh ibu bapa.

YANG DIRANGKA KHAS

Program ini merupakan satu program Pengajian dan Persijilan (P&P) di dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) yang dirangka khas untuk meningkatkan literasi dan kemahiran AI dalam kalangan mahasiswa.

Melalui pendedahan kepada topik
seperti pengenalan kepada AI, AI generatif, penggunaan AI untuk peningkatan kebolehpasaran diri, serta penggunaan AI secara beretika, pelajar dibimbing menjadi graduan yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga berdaya saing dalam era ekonomi digital.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen kukuh MCMC dan Microsoft Malaysia untuk membina ekosistem pembelajaran digital yang inklusif dan sebahagian daripada usaha berterusan dalam merapatkan jurang digital serta memastikan setiap
rakyat Malaysia berpeluang menyertai dan menyumbang dalam ekonomi berasaskan AI dan teknologi masa depan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *