








20 APRIL 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Sarawak.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadillah Yusof; serta barisan pimpinan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
“Dalam mesyuarat ini, saya menegaskan keperluan agar seluruh jentera kerajaan baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri untuk bersiap siaga berdepan ketidaktentuan ekonomi global, khususnya susulan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat,” katanya dalam hantaran di FB.
MENYUSUN BEBERAPA PERENCANAAN
Anwar berada di Kuching, Sarawak bagi menyusun beberapa perencanaan terkait pembangunan di negeri ini.
Beliau menjelaskan segala perancangan harus segera diterjemah kepada pelaksanaan demi memperkukuh daya tahan dalaman ekonomi negara terhadap sebarang kejutan atau tindakan luar yang mengganggu kelangsungan kita.
“Saya turut mendengar pembentangan berkaitan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak serta insentif cukai Bank Pembangunan Sarawak yang berpotensi memperkukuh ekonomi negeri dan menjana limpahan manfaat kepada rakyat Sarawak, dan Malaysia secara keseluruhan,” katanya.
PROJEK-PROJEK PEMBANGUNAN
Mesyuarat turut membincangkan hala tuju serta keutamaan projek-projek pembangunan di Sarawak agar diselaraskan dengan perancangan Persekutuan.
“Semoga usaha bersama ini terus menyuburkan kemakmuran dan kesejahteraan buat seluruh warga Bumi Kenyalang,” katanya. – JM
