Sultan Brunei serikan Majlis Santapan Diraja Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis

19 April 2025

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja yang merupakan acara kemuncak sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau, Khamis malam.

Sebaik berangkat tiba di Istana Arau,
Sultan Hassanal Bolkiah disambut oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda Baginda berdua, Waris Kedua Negeri Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Turut berangkat bagi menyerikan majlis santapan itu ialah Raja-Raja Melayu dan juga Yang Dipertua Negeri.

Raja Perlis diiringi oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid semasa berkenan berangkat ke majlis tersebut.

TIMBALAN PERDANA MENTERI

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sultan Hassanal Bolkiah dan delegasi Baginda tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar, Kedah dengan pesawat Royal Brunei pada 2.45 petang untuk menghadiri majlis santapan itu.

Juga diadakan pertunjukan bunga api dan persembahan kebudayaan bagi menyerikan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis.

PENGANJURAN MAJLIS TILAWAH

Dalam kenyataan Kerajaan Negeri Perlis, acara lain sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ialah penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025 dari 27 April hingga 2 Mei depan.

Juga diadakan Persembahan Kesenian dan Orkestra Diraja pada 15 November ini.

Pada 26 April ini, Istiadat Perarakan Panji-Panji Pasukan-Pasukan Rejimen Renjer Diraja akan berlangsung pada sebelah pagi manakala pada sebelah malam diadakan persembahan TATU oleh Tentera Darat Malaysia di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *