




21 APRIL 2025
Menteri Digital, Gobind Singh Deo telah merasmikan program EmpowerHER Digital 2025 di Menara Maxis, Kuala Lumpur.
Kenyataan media Kementerian Digital memaklumkan program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Digital, Digital Nasional Berhad (DNB), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Maxis Berhad yang bertujuan untuk membuka pintu peluang baru kepada wanita golongan B40 dalam menghadapi era pendigitalan yang semakin pesat.
EmpowerHER Digital bukan sekadar program latihan, tetapi satu langkah revolusi untuk memastikan wanita B40 tidak ketinggalan dalam arus ekonomi digital.
MEMBERI TUMPUAN UTAMA
Program ini memberi tumpuan utama kepada pemberdayaan wanita melalui pembinaan kapasiti yang kukuh, menyediakan latihan terstruktur, bimbingan dari pakar industri dan pendedahan kepada kemahiran digital yang relevan.
Peserta juga diberi peluang untuk menguasai literasi kewangan, teknologi terkini seperti AI Generatif, serta strategi pemasaran digital yang penting dalam dunia bisnes moden.
Di samping itu, EmpowerHER Digital juga menawarkan sokongan berterusan melalui inisiatif pendigitalan kerajaan, termasuk pemberian geran digital dan bantuan teknikal daripada rakan-rakan digitalisasi.
DI PELBAGAI LOKASI
EmpowerHER Digital dijangka memberi manfaat kepada 2,000 wanita di seluruh negara dan akan diteruskan di pelbagai lokasi sebagai sebahagian daripada agenda pendigitalan inklusif negara.
Hadir bersama Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad Datuk Azman Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Berhad, Goh Seow Eng. – JM
