




22 APRIL 2025
Menteri Pendidikan, Fadhlina telah mengadakan kunjung hormat kepada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo di pejabatnya.
Fadhlina berkata, sewaktu pertemuan itu pihaknya telah membincangkan pelbagai perkara yang terkait secara langsung dengan usaha meningkatkan kualiti pendidikan.
“Apa yang menarik, saya dapati banyak inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada ketika ini adalah selari dengan hala tuju pendidikan negara termasuk agenda pemerkasaan STEM dan TVET,” katanya dalam hantaran di FB.
SEBUAH HAB PELABURAN
Beliau berkata, Pulau Pinang sememangnya terkenal sebagai sebuah hab pelaburan, teknologi dan inovasi menjadikannya antara aset utama negara.
Jelasnya ini termasuk industri semikonduktor bertaraf dunia yang berjaya menarik pelaburan bernilai berbilion dolar setiap tahun.
Dalam konteks pendidikan, katanya Kementerian Pendidikan (KPM) telah mula mengorak langkah dengan menjalin kerjasama strategik dengan pemain industri utama di Pulau Pinang.
BAGI MENINGKATKAN KEMAMPANAN
“Sebagai contoh, pada waktu ini KPM sedang berkerjasama dengan Vitrox bagi meningkatkan kemampanan program TVET,” katanya.
Katanya, ini dilakukan menerusi program pinjaman industri bagi tujuan “upskilling” dan “reskilling”.
Kerjasama-kerjasama strategik lain juga sedang berjalan dan akan terus diteroka dalam usaha meningkatkan modal insan.
“Banyak inisiatif yang sedang dirancang oleh KPM dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk terus memacu pendidikan STEM dan TVET. Nantikan ya!,” tambah beliau. – JM
