







22 APRIL 2025
Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, peruntukan sebanyak RM2 juta telah disalurkan oleh Kerajaan MADANI untuk membina sistem perparitan yang baru di FELDA Medoi, Segamat, Johor.
Dr Zalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, isu saliran dan banjir setempat akan diselesaikan dan dalam masa yang sama akan meningkatkan kualiti hidup rakyat di sini.
“Kita tidak mahu pembangunan itu hanya bersifat kosmetik, tetapi pembangunan perlu menyentuh kehidupan seharian rakyat,” katanya dalam hantaran di FB.
AIDILFITRI PARLIMEN SEKIJANG
Terdahulu Dr Zaliha menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Sekijang di FELDA Medoi malam tadi.
“Tahun ini kita raikan sambutan rumah terbuka Aidilfitri ini dengan pendekatan yang sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
Katanya, jika sebelum ini ia diadakannya di pusat bandar, tetapi pada tahun ini, kemeriahan ini dibawa ke tengah-tengah masyarakat di FELDA Medoi.
ANAK-ANAK MUDA
Lebih istimewa lagi katanya rewang dan gotong-royong sejak siang, yang turut dihadiri oleh anak-anak muda, kaum ibu dan komuniti setempat menandakan lambang perpaduan rakyat di Parlimen Sekijang ini.
Rakan-rakan dari bangsa Tiounghua dan India turut hadir memeriahkan majlis.
“Inilah wajah sebenar Sekijang dan inilah juga wajah sebenar MADANI, di mana semua masyarakat saling hormat-menghormati, menyantuni dan memahami antara satu dengan yang lain,” katanya. -JM
