

Oleh: Sholina Osman
22 APRIL 2025
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam percakapan seorang individu yang dipercayai memuat naik kandungan palsu berkaitan Negeri Pahang di platform Facebook (FB) miliknya pada 19 April lalu.
Kenyataan media MCMC memaklumkan kandungan tersebut dipercayai dijana melalui bantuan kecerdasan buatan (artificial intelligence-AI) dan susulan itu, pelbagai spekulasi dan persepsi negatif telah timbul dalam kalangan orang awam, berkaitan pekebun haram di daerah Raub, Pahang.
“Sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya semalam (21 April),” katanya.
SATU KAD SIM
Sebuah telefon bimbit serta satu kad SIM telah disita bagi tujuan analisis forensik.
Kes disiasat di bawah seksyen 233 Akta 588 dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
MCMC tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap
mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan laman media sosial bagi tujuan penyebaran hantaran atau komentar palsu. – JM
