Kerajaan Johor, MCMC meterai kerjasama strategik

Oleh: Sholina Osman
22 APRIL 2025

Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalin kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Johor menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Kenyataan media MCMC dan Kerajaan Negeri Johor memaklumkan MoU ini disaksikan oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

“Kerjasama strategik ini bertujuan untuk memperkukuh infrastruktur digital, memperluas liputan rangkaian Internet, serta meningkatkan tahap kesedaran rakyat terhadap keselamatan siber dan literasi digital,” kata kenyataan itu.

Menerusi kerjasama ini, pelbagai inisiatif baharu akan dilaksanakan termasuk pembangunan infrastruktur digital, peluasan liputan 5G di kawasan strategik, pembangunan kapasiti rakyat dan pelaksanaan program keselamatan siber.

INISIATIF KERJASAMA INI

Pelaksanaan inisiatif kerjasama ini dianggar memerlukan peruntukan sebanyak RM300 juta dalam tempoh dua tahun mendatang, bagi memastikan pelaksanaan dan objektifnya tercapai.

Kementerian Komunikasi dan MCMC akan meningkatkan capaian Internet
khususnya untuk menggalakkan penggunaan aplikasi mudah alih oleh orang awam dengan memasang Wi-Fi awam baharu untuk digunakan dengan selamat oleh orang awam dan juga pelancong menerusi inisiatif Johor Safe City.

Kenyataan itu juga memaklumkan kerjasama ini turut merangkumi peningkatan liputan dan komunikasi mudah alih untuk menggalakkan penggunaan aplikasi teknologi pintar dan kecerdasan buatan (AI) oleh agensi Kerajaan, pihak swasta dan orang awam di seluruh Johor.

Peluasan liputan 5G akan dilaksanakan di kawasan berimpak tinggi termasuk pusat transit awam dan kemudahan sukan, kawasan perindustrian, tempat tumpuan pelancong dan di kawasan projek pusat data di Johor untuk menyokong
dan merancakkan transformasi ekonomi dan digital Johor.

PALING PESAT BERKEMBANG

Johor telah diiktiraf sebagai lokasi yang paling pesat berkembang untuk pusat data di seluruh Asia Tenggara.

Jumlah kapasiti pusat data Johor dijangka akan terus meningkat dan melepasi tanda 2.7 Gigawatt (GW) pada tahun 2027.

Melihat potensi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai pemangkin pelaburan baharu di Johor, kerjasama ini juga akan memastikan kawasan JS-SEZ
mempunyai infrastruktur digital dan capaian Internet yang kukuh, stabil dan menyeluruh, untuk menyokong peningkatan perdagangan dan perniagaan di kawasan ini.

Menerusi pelaksanaan MoU ini, MCMC akan mendokong Negeri Johor ke arah transformasi teknologi dan ekonomi yang progresif, serta model kerjasama antara Kerajaan negeri dan persekutuan dalam memacu pembangunan ekosistem negara berteknologi tinggi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *