KPM sedang berusaha tingkat penggunaan teknologi digital dalam PdP – Fadhlina

30 APRIL 2025

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang berusaha untuk meningkatkan penggunaan teknologi digital dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, Kurikulum Persekolahan 2027 juga akan turut merangkumi komponen kecerdasan buatan (AI) dan celik digital.

Beliau berkata, dalam meraikan potensi AI yang mendorong produktiviti dan melonjakkan pengalaman pembelajaran, usah terperangkap dengan ancaman yang turut hadir bersamanya.

“Teknologi digital dan AI perlu digunakan dengan penuh kebertanggungjawaban serta mengambil kira isu nilai, etika, budaya dan sensitiviti masyarakat,” katanya menerusi perkongsian di FB.

MESEJ UTAMA INI

Fadhlina berkata mesej utama ini telah disampaikan semasa hadir pada Perhimpunan Bulanan KPM, semalam.

Beliau juga berkongsi beberapa bahan bacaan terkini iaitu Brave New Words: How AI Will Revolutionize Education (and Why That’s a Good Thing) karya Salman Khan dan Co-Intelligence: Living and Working with AI oleh Ethan Mollick.

“Kedua-dua bacaan ini membawa kepada satu titik temu iaitu kita perlu berani mendepani rempuhan teknologi digital dan AI,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, keberanian tersebut perlu wujud berpaksikan kepada ilmu dan integriti.

TIDAK BOLEH TERTEGAK

Beliau berkata, teknologi digital dan AI tidak boleh tertegak atau berjalan sendiri.

Sebaliknya, katanya, intervensi manusia adalah sangat penting dalam memastikan ia berfungsi dengan baik dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Saya singgung tahap penggunaan pelantar DELIMa dalam kalangan pelajar yang masih rendah,” katanya.

BERUSAHA LEBIH KERAS

Fadhlina berkata, semua pihak perlu berusaha lebih keras meningkatkan penggunaannya yang dapat membantu dalam pembelajaran.

Dalam membuat persediaan Sambutan Hari Guru yang bakal menjelang, beliau zahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru di seluruh negara.

“Guru bertanggungjawab membentuk peribadi, pemikiran dan pengalaman murid, menjadikan mereka manusia yang berguna,” katanya.

Begitulah besarnya pengaruh guru dalam kehidupan setiap insan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *