Kerajaan rangka sistem saraan baharu penjawat awam dengan pendekatan berbeza – PMX

Oleh: Sholina Osman
2 MEI 2025

Kerajaan merangka sistem saraan baharu penjawat awam dengan pendekatan berbeza, bukan hanya menaikkan gaji tetapi memastikan mereka di tangga gaji rendah menerima kenaikan paling signifikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan ini selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI membina semula negara ini atas nilai karamah insaniah.

Beliau berkata ianya di mana martabat seseorang itu tidak diukur pada harta atau pangkat, tetapi pada jasa, budi dan pengorbanannya.

“Walau ada yang cuba menanam keraguan, kami tekad memulakan langkah membela pekerja, termasuk menaikkan gaji penjawat awam dan kadar gaji minimum,”katanya menerusi perkongsian di FB.

SAMBUTAN HARI PEKERJA

Terdahulu Anwar berucap sempena perasmian sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan Axiata Arena pagi semalam.

Anwar berkata, beliau tidak pernah lupa pengorbanan puluhan ribu rakyat yang majoritinya golongan pekerja, bersama turun ke jalanan demi menuntut keadilan, melawan penindasan dan menolak salah guna kuasa.

“Hari ini, kita tidak sekadar berbicara kosong. Kita mulakan dengan tatakelola, melaksanakan reformasi fiskal, dan menaikkan gaji pekerja l. Kita perangi rasuah dan menghentikan budaya menggunakan kuasa untuk memperkaya diri dan keluarga,” katanya.

Namun kata Perdana Menteri bahawa perjuangan ini belum selesai di mana harus berani melawan agenda kebencian, perkauman sempit dan fahaman agama yang memecahbelahkan.

ADALAH UNTUK KEADILAN

Jelas beliau, perjuangan ini adalah untuk keadilan buat semua pekerja, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

“Teruskan khidmat kalian dengan tekun dan ikhlas,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pekerja harus bersatu dan tentukan sendiri nasib kalian, dan jangan sesekali membenarkan diri ditunggang sesiapa.

“Ayuh, kita bulatkan tekad, menumpahkan bakti untuk menjadikan Malaysia negara hebat di rantau ini, Insya-Allah,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *