





Oleh: Sholina Osman
2 MEI 2025
Polis Perlis mencatat kejayaan besar tahun ini apabila berjaya merampas 409 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM1.2 juta pada pukul 2 petang pada 29 April lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, ganja berkenaan ditemui pada sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang ditinggalkan di muara Kuala Sungai Baru, Simpang Empat.
“Pasukan Task Force Balai Polis Kuala Perlis bersama Unit Risik Marin Kedah/Perlis, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kangar, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kangar dan anggota Balai Polis Simpang Empat telah menjalankan pemerhatian dan tinjauan selama dua jam di sekitar bot fiber berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kangar hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner, Yusharifuddin Mohd Yusop.
TIADA SEBARANG PERGERAKAN
Beliau berkata, di sepanjang pemerhatian tempoh tersebit didapati tiada sebarang pergerakan keluar masuk di kawasan bot fiber yang ditinggalkan itu.
Selepas itu, katanya Unit Task Force Balai Polis Kuala Perlis bersama Unit Risik Marin Kedah/Perlis, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kangar menghampiri bot berkenaan bagi melakukan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan telah menjumpai kotak-kotak yang di dalamnya mengandungi ganja jenis mampat,” katanya.
Kemudian bot berkenaan dibawa balik ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.
DITEMUI 24 KOTAK
Muhammad berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot fiber tersebut telah ditemui 24 kotak yang didalamnya mengandungi 409 ketulan mampat dadah disyaki ganja
bernilai RM1,267,900.00.
“Setiap satu ketulan mampat itu adalah seberat 1 kilogram,” katanya.
Beliau berkata, turut dirampas sebuah bot fiber berwarna merah/biru/putih menggunakan enjin jenis Yamaha Enduro 30HP.
SEDANG MEMBUAT SIASATAN
Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kangar sedang membuat siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Pegawai penyiasat sedang dalam tindakan untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya.
Beliau berkata, rampasan barang kes akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati. – JM
