Dr Zaliha rasmi Residensi Kecapi di Sentul yang terbengkalai 10 tahun

Oleh: Sholina Osman
3 MEI 2025

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa merasmikan Residensi Kecapi yang terbengkalai selama 10 tahun.

Beliau berkata, projek di Sentul yang membabitkan 250 unit kediaman itu
akhirnya ia dapat siap sepenuhnya dan akan memberi manfaat kepada penduduk asal yang sekian lama menunggu penyelesaian yang adil.

“Mereka yang berhak menerima unit kediaman dapat menarik nafas lega hari ini,” katanya dalam hantaran di FB.

Dr Zaliha berkata, setelah menunggu hampir sedekad, mereka kini hanya perlu membayar RM42,000 bagi setiap unit, berbanding harga pasaran semasa yang mencecah RM200,000.

MENDAHULUKAN KEPENTINGAN RAKYAT

“Ini merupakan bukti bahawa kerajaan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Lebih penting daripada itu katanya ialah komitmen terhadap ketelusan dan keadilan.

Beliau berkata pasukan audit khas yang melibatkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak pemaju sendiri telah turun padang bagi menyemak status pemilik asal dan waris yang sah.

BINTANG CEMERLANG 2.0

Dalam majlis yang sama, Dr Zaliha melancarkan program Bintang Cemerlang 2.0, sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) hasil kerjasama YTL dan Universiti UCSI.

Beliau berkata, program ini memberi tumpuan kepada pelajar-pelajar yang tercicir akibat pandemik, khususnya dalam pemulihan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira di 23 buah sekolah rendah sekitar kawasan PPR di Sentul.

Jelas Dr Zaliha, usaha ini selari dengan inisiatif Ilmu @ Program Usaha Jaya Insan (PUJI) di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan yang bertujuan membasmi kemiskinan bandar.

PUJI yang sedang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan, bertujuan memastikan tiada kelompok yang terpinggir daripada peluang pendidikan berkualiti.”

“Saya mengalu-alukan lebih banyak penyertaan daripada rakan-rakan industri untuk turut menyumbang dalam usaha membina masyarakat yang lebih sejahtera melalui program sosial berimpak tinggi,” ujarnya.

TANGGUNGJAWAB MEMBANGUNKAN KOTA

Beliau menegaskan tanggungjawab membangunkan kota ini bukan hanya dibahu kerajaan, tetapi perlu digalas bersama oleh semua pihak yang peduli.

“Kita tidak membina kota ini hanya untuk menjadi tempat tinggal, tetapi sebagai lambang kebersamaan dan penghargaan kepada setiap lapisan masyarakat,” katanya.

“Kita juga tidak merancang masa depan hanya untuk segelintir, tetapi untuk seluruh warga yang memerlukan,” tambahnya.

Jelas Dr Zaliha inilah roh sebenar MADANI yang diperjuangkan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *