



6 MEI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan surat cara pelantikan kepada tiga ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) bagi tempoh pelantikan bermula 25 April 2025 hingga 25 April 2028.
Ia turut disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
“Secara keseluruhan JKMR terdiri daripada tujuh ahli, tiga daripadanya masih dalam tempoh lantikan manakala seorang lagi dilantik semula sebagai Pengerusi JKMR,” katanya dalam hantaran di FB.
DUA AHLI DEWAN
Beliau berkata, tiga individu yang baharu dilantik adalah dua Ahli Dewan Negara iaitu Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz serta Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan dan Ahli Parlimen Langkawi Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.
Beliau berkata, ahli sedia ada (dari 15 September 2023 hingga 14 September 2026) terdiri dari Ahli Dewan Rakyat Parlimen Paya Besar (Pengerusi sehingga 25 April 2028), Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah.
“Tiga lagi Ahli Dewan Rakyat Parlimen Batang Lupar Mohd Shafizan Kepli, Ahli Dewan Rakyat Parlimen Bentong Young Syefura Othman dan Ahli Dewan Rakyat Parlimen Tawau, Lo Su Fui,” katanya.
MENASIHATI PERDANA MENTERI
Beliau berkata, JKMR berperanan penting dalam menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek berkaitan isu rasuah serta meneliti Laporan Tahunan SPRM.
Selain itu, katanya, JKMR juga dikehendaki memeriksa ulasan oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tentang perjalanan oleh suruhanjaya ini akan fungsi di bawah Akta SPRM 2009
Beliau berkata, ia juga bagi mendapatkan penjelasan Laporan Tahunan SPRM serta ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).
“Pelantikan ahli JKMR ini diharap dapat memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan mempertingkat integriti dan tadbir urus, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam sistem pentadbiran negara,” katanya. – JM
