




8 MEI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bersama dengan barisan pengurusan tertinggi kementerian petang semalam.
Beliau berkata, pertemuan ini
bagi membincangkan strategi dan hala tuju baharu pendidikan menjelang lembaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Antara yang dibicarakan termasuklah pendidikan prasekolah, latihan guru dan peningkatan kemahiran di Institut Pendidikan Guru, pelaksanaan CPD sebagai wahana memperkasa tenaga pengajar serta pemantapan STEM bagi melonjakkan daya saing masa depan,” katanya dalam hantaran di FB.
Anwar berkata, antara yang turut dibincangkan pengajian peringkat Tingkatan 6 dan matrikulasi, isu keciciran murid, permit mengajar sektor awam dan swasta serta keperluan menyusun semula Pelan Induk Pendidikan Negara agar lebih sejajar dengan keperluan semasa.
INTIPATI DAN ILTIZAM
“Segala intipati dan iltizam yang terbit daripada perbincangan ini harus digerakkan segera secara menyeluruh, tersusun dan berani demi masa depan anak-anak, para pendidik dan ekosistem pendidikan negara,” katanya.
Beliau berkata, dunia sedang berubah pantas dan kita tidak boleh berpuas hati dan terperangkap dengan nostalgia lama atau terpuruk dalam perancangan silam yang mungkin sudah tidak relevan.
Sehubungan itu, kata beliau, dasar lama perlu disemak dan pendekatan perlu disegarkan agar setiap wang yang dilaburkan menerusi RMK-13 akan membenihkan sistem pendidikan yang lebih adil, berpandangan jauh dan mampan demi menjulang masa depan negara yang lebih makmur dan sejahtera. – JM
