



Oleh: Sholina Osman
9 MEI 2025
Kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Aset Digital dan AI – satu entiti penasihat strategik yang akan memainkan peranan penting untuk meletakkan negara mampu menguasai teknologi ini lantas berada di barisan hadapan dalam ekonomi digital dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, teknologi aset digital dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi global dan daya saing negara.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Aset Digital dan AI yang julung kalinya diadakan.
Turut serta Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
MALAYSIA SEBAGAI HAB
Anwar berkata, antara dibincangkan adalah potensi Malaysia sebagai hab utama dalam teknologi blockchain dan aset digital, termasuk dalam sektor strategik seperti perdagangan rentas sempadan, industri halal dan kewangan Islam.
“Antara fokus utama ialah penggunaan teknologi seperti tokenisasi, stablecoin, aset kripto, kecerdasan buatan (AI), analitik data raya dan pengkomputeran awan,” katanya dalam hantaran di FB.
Beliau berkata, ia untuk memperkasa sektor kewangan digital yang lebih cekap, selamat dan inklusif.
MAMPU MEMACU INOVASI
Berikutan itu kata beliau teknologi-teknologi ini nanti akan mampu memacu inovasi dalam struktur pasaran, mempercepatkan transaksi serta memperkukuh ketelusan dan pematuhan.
“Saya mengalu-alukan kerjasama berterusan dengan Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia, Kementerian Digital, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam memastikan dasar yang menyokong pembangunan teknologi secarabertanggungjawab dan progresif,” jelasnya.
Beliau berkata, dengan kepimpinan yang jelas dan ekosistem teknologi yang progresif, Malaysia bersedia muncul sebagai peneraju dalam ekonomi digital global. – JM
