MCMC periksa premis milik individu muat naik kandungan jelik berunsur 3R

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan pemeriksaan terhadap premis milik seorang individu bagi mendapatkan keterangan lanjut berhubung siasatan yang sedang dijalankan ke atasnya.

Kenyataan media MCMC memaklumkan siasatan ini melibatkan kandungan yang dimuat naik melalui akaun Facebook individu tersebut, yang dipercayai mengandungi elemen jelik melampau berunsur 3R (agama, kaum dan Institusi Diraja).

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), yang memperuntukkan kesalahan berkaitan penyebaran kandungan lucah, sumbang, palsu, jelik melampau atau mengancam, dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.

MEMPEROLEH WARAN GELEDAH

Pemeriksaan tersebut dilaksanakan selepas MCMC memperoleh waran geledah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengikut peruntukan Seksyen 247 AKM 1998.

Hasil daripada pemeriksaan itu, sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM telah disita untuk tujuan siasatan lanjut.

Selain itu, sesi pemeliharaan data dan rakaman percakapan telah diadakan di Balai Polis Pudu pada 9 Mei 2025.

BAGI MEMBERIKAN KETERANGAN

Terdahulu, individu terbabit turut hadir ke Ibu Pejabat MCMC bagi memberikan keterangan berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.

MCMC ingin menegaskan, tindakan yang dilaksanakan adalah berlandaskan peruntukan undang-undang yang termaktub di bawah AKM 1998.

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk memberikan ruang agar siasatan dapat dilengkapkan dengan telus dan menyeluruh. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *