Label ‘Parti Anak Beranak’ taktik serangan lama mahu perlekeh perjuangan KEADILAN – Nurul Izzah

Oleh: Sholina Osman
11 MEI 2025

Nurul Izzah Anwar akhirnya menghentikan spekulasi di mana akhirnya membuat pengesahan bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025-2028 pada 23 Mei depan.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan yang diambil bukanlah sesuatu yang paling mudah atau paling selesa, tetapi ia lahir daripada satu bentuk tanggungjawab.

“Saya tetap percaya, perjuangan ini bukan milik mana-mana individu. Ia milik kita semua yang masih setia memikul idealisme Reformasi sejak 1998,” katanya dalam kenyataan media.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh ini menjelaskan beliau tahu khabar angin yang berlegar sejak beberapa hari lalu telah menimbulkan dua reaksi berbeza.

INGIN MELIHAT REGENERASI

Beliau berkata, ada sebahagian – yang menyatakan terus kepada saya – menyambutnya dengan penuh pengharapan, ingin melihat regenerasi dan pembaharuan dalam parti.

Selain itu, katanya ada juga yang menzahirkan kegusaran dan meminta beliau mempertimbangkan semula keputusan ini kerana bimbang KEADILAN dilabel sebagai “Parti Anak Beranak”.

Nurul Izzah tetap menghormati kedua-dua pandangan ini kerana kedua-duanya datang dari rasa cinta yang mendalam terhadap parti ini.

“Beri saya ruang memperjelas tentang persepsi “Parti Anak Beranak” ini di mana label ini bukanlah satu serangan baharu,” ujarnya.

BELIAU BERSAMA PENGASAS

Malah, katanya sejak 1998, ketika beliau bersama pengasas dan pejuang Reformasi bersama-sama menubuhkan KEADILAN, label ini telah digunakan untuk memperlekeh perjuangan mereka.

Ketika beliau menang Naib Presiden dengan undian tertinggi pada tahun 2010, 2014 dan 2018, serangan yang sama tetap dilemparkan.

Hanya pada tahun 2022 sahaja, tidak bertanding, kerana memberi fokus dan mendokong pergerakan Ayuh Malaysia, di mana memperkenalkan beberapa dasar untuk diperjuangkan – termasuk TVET serta perubahan iklim bagi memberi kesan yang lebih baik kepada kehidupan seharian.

TETAP AKAN DIGELAR

“Hakikatnya, jika saya memilih untuk kekal bertanding Naib Presiden pun kali ini, saya tetap akan digelar begitu,” katanya.

Walau apa jua gelaran dan persepsi yang dilemparkan selama puluhan tahun, beliau tetap akan terus berkhidmat.

“Insya-Allah – kerana yakin bahawa proses bertanding secara terbuka lantas mendapat mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme,” katanya.

Sebaliknya, katanya ini adalah asas demokrasi yang perlu kita pertahankan dalam parti kita ini.

LANTIKAN PERDANA MENTERI

“Ketika PH memenangi PRU ke-14, saya telah ditawarkan untuk dilantik sebagai Menteri. Apa keputusan saya? Saya menolak kerana ianya adalah lantikan Perdana Menteri, di dalam kabinet yang turut dianggotai oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Malahan, sekiranya beliau menang jawatan Timbalan Presiden sekalipun, beliau menegaskan tidak berminat dengan jawatan kabinet.

“Saya yakin, mereka yang membaca kenyataan ini dengan penuh rasional dapat membezakan nepotisme iaitu dilantik oleh ahli keluarga untuk sesuatu posisi berbanding pertandingan yang diundi oleh akar umbi,” katanya.

MASA YANG TEPAT

Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita KEADILAN, Noraini Nordin berkata, pendirian Nurul Izzah untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden membuktikan ia sebagai masa yang tepat.

“Pedulikan tohmahan ‘Parti Anak Beranak’ kerana bukan Perdana Menteri yang membuat keputusan ini,” kata Noraini.

Beliau berkata, Nurul Izzah membuat kata putus ini di atas sokongan dari akar umbi yang yakin dengan kemampuannya.

WANITA KEADILAN YAKIN

“Kami anggota Wanita KEADILAN yakin kemampuan Nurul Izzah mengurus parti dan mampu menjulang KEADILAN ke tahap tertinggi serta disegani,” katanya.

Selain itu, kata beliau, Nurul Izzah juga dikenali di peringkat antarabangasa sejak awal penubuhan parti KEADILAN.

Jelasnya, wanita hebat ini bukan sahaja disegani dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

“Sudah tiba masanya Nurul Izzah diangkat menjadi Timbalan Presiden demi masa depan KEADILAN,” katanya lagi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *