






Oleh: Sholina Osman
11 MEI 2025
Islam membina tamadun manusia di atas asas ilmu, hikmah, dan kefahaman yang benar.
Al-Quran tidak diturunkan hanya sebagai bacaan ibadah semata-mata, tetapi sebagai petunjuk hidup, cahaya kebenaran dan panduan yang membimbing manusia keluar dari kejahilan.
Islam sesungguhnya ialah agama yang mengajak umatnya kepada kebijaksanaan dan menolak segala bentuk pemikiran yang dangkal dan kejahilan dan tidak menjadikan umatnya golongan yang lemah akal, menyerah tanpa berfikir, atau sekadar mengikut membuta tuli.
ISLAM MENGANGKAT UMATNYA
Sebaliknya, Islam mengangkat umatnya agar menjadi golongan yang cerdas, berfikir dengan waras dan bijak, memahami agama berdasarkan hujah dan dalil yang sahih, serta mampu menilai kebenaran dengan ilmu yang benar.
Demikian kenyataan media Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang dititah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail iaitu mengulangi topik khutbah Jumaat, semalam sebagai rujukan selepas berkenan berangkat menghadiri slot ceramah yang disampaikan oleh Dr Syafiq Riza Hasan Basalamah dari Indonesia bertajuk ‘Khurafat Kubur, Menyanggahi Nas dan Akal’ di Perkampungan Sunnah Siri Ke-10 (PS10) yang berlangsung di Masjid Alwi Kangar, malam tadi.
Keberangkatan Baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
PS10 pada kali ini mendapat sambutan luar biasa dengan ribuan hadirin memenuhi ruang-ruang masjid berkenaan. – JM
