Malaysia bebas daripada penyakit anthrax

Oleh: Sholina Osman
11 MEI 2025

Malaysia bebas daripada penyakit anthrax ini semenjak kes terakhir yang
dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada tahun 1976.

Kenyataan media Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjelaskan bahawa sehingga kini, tiada sebarang laporan berkenaan penyakit anthrax di negara ini.

Walau bagaimanapun, penyakit ini sentiasa aktif dikebanyakan negara di serata benua dan wabak di mana yang terbaharu berlaku di Thailand baru-baru ini.

DVS memandang serius wabak penyakit anthrax yang menyebabkan satu kematian manusia yang disahkan akibat jangkitan anthrax pada 1 Mei 2025, seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Kawalan Penyakit (DDC), Thailand.

PENGAMBILAN DAGING MENTAH

Kes tersebut dikaitkan dengan penyembelihan lembu dan
pengambilan daging mentah di Daerah Don Tan, Wilayah Mukdahan,
timur laut Thailand yang bersempadan dengan Republik Demokratik Rakyat Lao.

Penyakit anthrax ini disebabkan oleh bakteria Bacillus anthracis dan
merupakan penyakit zoonotik iaitu penyakit haiwan yang boleh
menjangkiti manusia dan boleh membawa maut.

Ia boleh menjangkiti ternakan dan manusia melalui kontak langsung dengan spora yang dihasilkan oleh bakteria Bacillus anthracis.

Penyakit ini boleh menyebabkan kadar kematian yang tinggi pada haiwan ternakan.

DVS KEKAL BERWASPADA

Pada ketika ini, DVS kekal berwaspada dan memohon jaminan daripada Thailand bahawa tiada haiwan dan produk haiwan yang disyaki dari kawasan berisiko tinggi anthrax dieksport ke Malaysia.

Negara Thailand turut dimohon memberikan status semasa, langkah-langkah yang diambil untuk mengawal pergerakan haiwan dan produk haiwan di Thailand dan
pelan kontingensi mengenai penyakit anthrax.

Ini berikutan Malaysia mengimport ternakan hidup iaitu lembu dan kerbau dari Thailand, dan semua ternakan yang memasuki negara ini perlu melalui proses pemeriksaan veterinar yang ketat sebelum dibenarkan masuk. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *