
11 MEI 2025
Malaysia kini diiktiraf sebagai negara pertama di luar Eropah yang menyertai secara rasmi Davos Baukultur Alliance.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata sekaligus Wilayah Persekutuan akan menjadi perintis dalam menterjemahkan prinsip Baukultur ke dalam dasar, pelaksanaan serta reka bentuk pembangunan bandar.
“Saya menggariskan bagaimana prinsip pembangunan CHASE City di Wilayah Persekutuan selari dengan lapan kriteria Sistem Kualiti Baukultur,” katanya dalam hantaran di FB.
Terdahulu Dr Zaliha menyampaikan ucapan aluan di Davos Baukultur Alliance, Members Annual Meeting 2025 di Ateneo Veneto, Venice, sebuah inisiatif di bawah World Economic Forum (WEF) yang memberi penekanan kepada nilai budaya dalam pembangunan bandar.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan bukan hanya soal fizikal, tetapi soal jiwa dan maruah masyarakat.
“Sebuah bandar itu perlu dibina dengan semangat ‘with people, by people, for people’,” katanya.
Dr Zaliha berkata, Baukultur perlu menjadi konsep universal, bukan hanya milik Eropah.
“Ia adalah kerangka sejagat yang menuntut tanggungjawab bersama untuk membina bandar yang lestari dan manusiawi,” kata beliau. – JM
