





Oleh: Sholina Osman
11 MEI 2025
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mencipta nama di pentas antarabangsa ekoran kejayaan terbaharu yang dilakar oleh tiga penyelidiknya.
Ketiga penyelidik ini berjaya meraih tiga Pingat Emas dan beberapa Anugerah Khas dalam pameran inovasi berprestij, EUROINVENT 2025 – European Exhibition of Creativity and Innovation, yang berlangsung dari 8 hingga 10 Mei 2025 di Palace of Culture, Iasi, Romania.
Datuk Bandar Iasi, Mihai Chirica yang menyempurnakan majlis EUROINVENT 2025 melahirkan penghargaan terhadap penyertaan aktif para inovator dari seluruh dunia serta menekankan pentingnya kerjasama antarabangsa dalam memacu kemajuan teknologi dan penyelidikan global.
Kejayaan membanggakan ini dicapai oleh Prof. Madya Dr. Rozyanty Rahman, Prof. Madya Dr. Dewi Suriyani Che Halin, dan Prof. Madya Dr. Muhammad Mahyiddin Ramli.
PENYELIDIKAN DAN INOVASI
Ketiga mereka membentangkan hasil penyelidikan dan inovasi yang berjaya menarik perhatian para juri antarabangsa.
Selain dianugerahkan Pingat Emas, malah mereka turut menerima Anugerah Khas Euroinvent, Anugerah Khas Poland, dan Anugerah Khas Taiwan atas kecemerlangan dan kebolehgunaan inovasi yang diketengahkan.
EUROINVENT 2025, yang dianjurkan oleh Romanian Inventors Forum bersama Europe Direct Iasi, menghimpunkan lebih daripada 25 buah negara termasuk negara-negara dari Eropah, Asia, dan Timur Tengah.
Acara ini menjadi platform penting bagi para penyelidik, pencipta dan akademik antarabangsa untuk mempamerkan hasil ciptaan, menilai potensi komersial serta menjalin kolaborasi merentas sempadan.
SEBAGAI PEMBENTANG JEMPUTAN
Lebih membanggakan, ketiga-tiga penyelidik UniMAP turut diberi penghormatan sebagai pembentang jemputan dalam International Conference on Innovative Research (ICIR) kali ke-11, yang turut dianjurkan bersama oleh UniMAP.
Persidangan ini menyaksikan sebanyak 148 artikel penyelidikan telah diterima dan diterbitkan dalam beberapa jurnal terindeks serta prosiding akademik, mencerminkan tahap kualiti dan impak penyelidikan yang dibawa oleh peserta-peserta antarabangsa.
PROF MADYA DEWI SURIYANI
Sementara itu, Prof Madya Ts. Dr. Dewi Suriyani Che Halin tampil dengan penyelidikan ‘Permukaan Anti Kotoran: Modifikasi Permukaan Pintar TiO2’
Ringkasan:
Permukaan Pintar TiO2 ialah filem nipis yang bersifat pembersihan sendiri yang dibangunkan untuk aplikasi pembersihan permukaan.
Ia berfungsi menghalang kotoran dan pencemar melekat pada permukaan seperti kaca, pintu, dan jubin.
TiO2 terkenal sebagai fotopemangkin kerana sifatnya yang tidak toksik, stabil, dan tahan bahan kimia, serta mampu membunuh bakteria apabila didedahkan kepada cahaya UV. Inovasi ini menumpukan kepada penambahbaikan permukaan pintar TiO2 dengan pendopan perak (Ag) dan penambahan sedikit polietilena glikol (PEG).
PROF MADYA DR ROZYANTY
Manakala Prof Madya Dr Rozyanty Rahman pula dengan penyelidikan ‘Biokomposit Hibrid Mesra Alam dengan Keupayaan Pemulihan Diri untuk Tangki Penyimpanan Bahan Api Bawah Tanah (UST)’
Ringkasan:
Produk inovasi ini adalah biokomposit hibrid yang mesra alam dan mempunyai kemampuan pemulihan diri (self-healing) yang direka khas untuk Tangki Penyimpanan Bahan Api Bawah Tanah (UST).
Produk ini bertujuan untuk merevolusikan sistem penyimpanan bahan api dengan menawarkan penyelesaian yang lebih selamat, tahan lama, dan mampan. Biokomposit ini mengintegrasikan ciri-ciri pemulihan diri, yang membolehkan struktur tangki memperbaiki kerosakan mikro pada permukaan secara automatik, seterusnya mengurangkan risiko kebocoran dan pencemaran.
Selain itu, bahan-bahan yang digunakan adalah mesra alam dan lebih tahan lasak, meningkatkan jangka hayat tangki serta mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.
Dengan ciri-ciri teknikal yang canggih ini, produk ini menawarkan alternatif yang lebih selamat dan efisien dalam penyimpanan bahan api bawah tanah.
PROF MADYA DR MUHAMMAD
Bagi Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muhammad Mahyiddin Ramli pula dengan penyelidikan ‘Penderia Gas Dari Bahan Buangan Pokok Kelapa Sawit – ‘From Waste To Wealth’
Ringkasan:
Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), sebanyak 4.49 juta hektar tanah telah digunakan untuk tanaman kelapa sawit di Malaysia dan seterusnya menghasilkan sebanyak 70 – 110 juta tan metrik bahan buangan dalam setahun.
Kaedah pelupusan semasa seperti pembakaran terbuka menyebabkan pencemaran udara, manakala penukaran kepada tenaga hanya menggunakan sebahagian kecil sisa dan kurang efisien.
Penderia yang dihasilkan ini adalah berasaskan bahan nano iaitu ‘reduce graphene oxide’.
Bahan utama penderia gas ini dihasilkan daripada bahan buangan pokok kelapa sawit.
Penderia ini mampu menandingi penderia gas yang ada dipasaran.
Ini kerana penderia ini hanya memerlukan suhu bilik untuk beroperasi secara optimum.
Antara aplikasi penderia gas ini termasuklah aplikasi dalam bidang pertanian dan juga ketenteraan. – JM
