Individu disiasat muat naik hantaran berunsur perkauman masyarakat etnik di Sarawak – MCMC

Oleh: Sholina Osman
18 MEI 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan ke atas beberapa hantaran dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook (FB), susulan aduan awam mengenai
kandungan berunsur perkauman yang berpotensi menjejaskan sensitiviti
masyarakat etnik di Sarawak.

Kenyataan media MCMC memaklumkan seorang individu telah dipanggil memberi keterangan kepada pihak MCMC pada Khamis, 15 Mei 2025 untuk siasatan.

Berikutan itu, sebuah
telefon bimbit dan satu unit kad SIM disita bagi membantu siasatan lanjut.

Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk
arahan dan tindakan selanjutnya.

HUKUMAN DENDA MAKSIMUM

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan
kesalahan.

Orang ramai adalah dinasihatkan agar sentiasa bertanggungjawab dan beretika ketika memuat naik atau berkongsi kandungan di platform dalam talian.

Sebarang penyebaran kandungan jelik melampau, khususnya yang menyentuh sensitiviti kaum, agama atau Institusi Diraja, adalah satu kesalahan serius dan tidak akan dikompromi.

MCMC komited dalam memastikan ruang siber negara kekal selamat dan
harmoni, selari dengan usaha memperkukuh perpaduan nasional serta menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *