PMX dianugerah Ijazah Kehormat dari Moscow State Institute of International Relations

16 MEI 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianugerahkan Ijazah Kehormat dari Moscow State Institute of International Relations (MGIMO) semasa dalam rangka lawatan rasmi ke Rusia.

“Penghormatan ini saya terima bagi pihak seluruh rakyat Malaysia yang menjunjung tinggi nilai kemanusiaan, keamanan dan perpaduan sejagat,” katanya dalam hantaran di FB.

Beliau menerima Ijazah Kehorrmat itu sebelum menyampaikan syarahan umum di MGIMO.

Terdahulu Anwar dan delegasi Malaysia berkesempatan mengadakan pertemuan bersama pimpinan MGIMO yang diketuai Rektor Prof Anatoly Torkunov.

UNTUK MENJALIN KERJASAMA

Beliau dimaklumkan mengenai minat MGIMO untuk menjalin kerjasama dengan Universiti Malaya (UM) dan beberapa institusi lain di Malaysia.

“Usaha MGIMO untuk memperluas kepakaran dalam hal ehwal ASEAN, pertanian, bahasa dan pertukaran pelajar amat dialu-alukan,” katanya.

Malaysia juga berhasrat menghantar diplomat muda ke MGIMO, institusi tersohor yang telah melahirkan ramai tokoh diplomasi berkaliber di peringkat antarabangsa.

Dalam syarahan, beliau menegaskan bahawa cabaran utama hari ini bukan hanya pada teknologi dan peralihan kuasa global, tetapi pada krisis nilai dan kehilangan arah moral.

MENGUASAI TEKNOLOGI BAHARU

Generasi muda harus menguasai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan dan tenaga baharu, namun tetap berpaksikan pada nilai dan ihsan.

Dalam konteks ini, gagasan MADANI menawarkan jalur holistik, mengimbangi kemajuan material dengan kekuatan jiwa dan peradaban. Ini selari dengan Russian soul yang menekankan kekayaan budaya dan kemanusiaan dalam mendepani zaman yang mencabar.

“Saya juga berkongsi kekaguman terhadap kesusasteraan Rusia yang mendalam, dari psikologi moral Dostoyevsky, renungan falsafah Tolstoy, ironi halus Chekhov hinggalah puisi getir Anna Akhmatova,” katanya.

Karya-karya ini bukan sahaja memperkaya jiwa Rusia, malah menyuburkan nurani kemanusiaan sejagat yang semakin terhakis.

DALAM SEMANGAT KETERBUKAAN

Pertemuan beliau dengan Presiden Vladimir Putin turut disentuh, yang berlangsung dalam semangat keterbukaan dan saling menghormati. Prinsip kesetaraan yang dizahirkan menjadi asas penting dalam membina dunia yang lebih adil dan aman.

“Saya akhiri syarahan ini dengan menyeru hadirin untuk tidak gentar menyatakan perkara yang hak dan mempertahankan keadilan adil,” katanya.

Seperti kata Dostoyevsky, “Segalanya ada dalam genggaman manusia, tetapi manusia melepaskannya kerana takut.”

Syarahan umum di MGIMO menjadi penutup tirai lawatan Perdana Menteri di Moscow.

Seusai program, beliau terus berangkat ke lapangan terbang untuk ke Kazan bagi menghadiri Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik “Russia-Islamic World serta menyertai KazanForum. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *