PMX selamat tiba di Kazan disambut Rais Rustam

17 MEI 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Kazan pada 15 Mei 2025 dalam segmen lawatan ke Rusia telah disambut oleh Rais atau Ketua Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov.

Beliau diraikan dengan sambutan tradisional masyarakat Tatar Rusia dengan dihidangkan manisan ‘chack chack’ dan ‘rkaravay’ sebagai simbol adat turun-temurun bagi memuliakan tetamu.

“Kami kemudian mengadakan pertemuan di Kazan Kremlin sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama dua hala Malaysia–Rusia melalui saluran wilayah,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Perdana Menteri telah menyatakan komitmen Malaysia untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan, kewangan Islam dan industri halal, serta menzahirkan penghargaan atas jemputan ke Kazan.

UNTUK MEMPERLUAS KERJASAMA

“Kami bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, termasuk menerusi penyertaan aktif dalam Kazan Forum serta penerokaan industri halal dan kewangan Islam yang kian berkembang di Tatarstan,” katanya.

Anwar berkata, kerjasama dalam bidang pertanian turut diberikan perhatian, khususnya dalam pembangunan baja untuk menjamin sekuriti makanan, di samping membincangkan bidang pendidikan teknikal, teknologi aeroangkasa dan sains.

Beliau berkata, Rais Rustam turut menzahirkan penghargaan atas sokongan Malaysia terhadap Kumpulan Visi Strategik “Russia–Islamic World.” Mesyuarat yang akan berlangsung 17 Mei 2025 adalah kesinambungan komitmen bersama kita untuk memperkukuh persefahaman, dialog antara agama dan keterangkuman sejagat.

TELAH DIBAWA MELAWAT

Selesai jamuan, Anwar berkata beliau telah dibawa melawat Cathedral of the Annunciation yang terletak di dalam kawasan Kazan Kremlin.

“Kagum melihat binaan bersejarah abad ke-16 ini yang menggambarkan keagungan seni bina Ortodoks Rusia dan menjadi saksi kepada sejarah panjang pertembungan budaya di wilayah ini,” jelas beliau.

Katanya, berhadapan dengan katedral ini berdiri megah Masjid Kul Sharif, simbol penting peradaban Islam di Tatarstan.

Tambah beliau, keberadaan dua rumah ibadah ini secara bersebelahan melambangkan semangat persefahaman dan keharmonian antara penganut agama berbeza yang telah lama berakar di bumi Rusia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *