Raja, Raja Perempuan lancar buku Sirajus Siyadah: 25 Tahun Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail

Oleh: Sholina Osman
17 MEI 2025

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat melancarkan buku ‘Sirajus Siyadah: 25 Tahun Pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail’.

Pelancaran itu dilaksanakan bersempena Wacana Wangsa Jamalullail: Sempena “Zynatul Muluk” Sambutan Ulang Tahun Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis Ke-82 yang diadakan di Auditorium Dr Syed Mahmood, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Kangar.

Buku tersebut diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditulis oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Dr. Hazman Hassan dan Mohd Nazim Mohd Noor.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah, Hajah Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj.

MENJULANG WIBAWA RAJA

Program tersebut dimulakan dengan Slot “Menjulang Wibawa Raja: Pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin” oleh Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal iaitu bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) & Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Ia disusuli dengan tajuk “Pemerkasaan Bahasa Melayu: Legasi Kepimpinan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail” yang dikongsikan oleh Ketua Bahagian dan Strategik DBP, Ghani Abu.

Taklimat khas ‘Kenang-kenangan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Raja Perlis’ telah dipersembahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *