BIMB persembah zakat perniagaan berjumlah RM1,136,000 kepada Raja Perlis

Oleh: Sholina Osman
19 MEI 2025

Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) mempersembahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,136,000 kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar selepas solat Jumaat baru-baru ini.

Kenyataan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memaklumkan persembahan zakat tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Datuk Mohd Muazzam Mohamer yang turut disertai oleh Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan BIMB Mohd Nazri Chik; Pengarah Kawasan Utara Abdul Ghani Abdul Wahab dan Pengarah Negeri Perlis/Kedah BIMB Hasnul Hadi.

Majlis penuh bermakna ini turut disaksikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs bersama-sama Raja Puan Muda Perlis berkenan berangkat menghadiri Program Hijrah Minda Kali Ke-14 Tahun 2025.

300 ASNAF TERPILIH

Baginda berdua menyantuni 300 asnaf terpilih dari kariah Batu Dua Jalan Padang Besar, Sempering, Mata Air dan Oran, dengan jumlah penuh diagihkan kali ini sebanyak RM210,000 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkasakan kebajikan umat Islam di negeri ini.

Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan Bank Islam dalam menyokong agenda pembangunan ummah melalui pembayaran zakat perniagaan serta hubungan strategik bersama institusi-institusi agama negeri, khususnya MAIPs.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bank Islam atas peningkatan mendadak jumlah sumbangan zakat tahun ini.

“Sumbangan ini bukan sahaja mengambil kira keperluan utama semasa di Negeri Perlis, malah ia juga menyuntik semangat dan meningkatkan komitmen tinggi MAIPs untuk terus membantu golongan yang memerlukan secara lebih strategik dan berimpak tinggi,” ujar beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *