Fahmi rasmi Kempen Internet Selamat Wilayah Utara di SK Ulu Melaka, Langkawi

Oleh: Sholina Osman
19 MEI 2025

Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Kempen Internet Selamat (KIS) Wilayah Utara di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Melaka, Langkawi, Kedah bagi memperkukuh keselamatan dalam talian dan membina komuniti digital yang berdaya tahan.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan program anjuran Kementerian Komunikasi melalui MCMC ini telah dihadiri lebih 1,800 peserta, termasuk pelajar daripada 22 buah sekolah, guru, ibu bapa, pemimpin komuniti serta wakil pelbagai agensi berkepentingan.

Kempen ini merupakan kesinambungan usaha memperkasakan literasi digital dalam
kalangan masyarakat, khususnya kanak-kanak dan remaja, dalam menangani cabaran buli siber, penipuan dalam talian, perjudian siber serta eksploitasi seksual kanak-kanak.

LEBIH 100,000 PESERTA

Sepanjang tahun ini, lebih 100,000 peserta di seluruh Wilayah Utara merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dijangka akan terlibat dalam kempen ini.

Antara aktiviti yang dianjurkan ialah sesi taklimat dan aktiviti interaktif Modul Keselamatan Internet khas untuk kanak-kanak bawah 13 tahun, perkongsian Modul Keselamatan Internet untuk para guru dan ibu bapa, pertandingan Choral Speaking
bertemakan Keselamatan Internet serta pertandingan Menu Viral bagi menerapkan penggunaan Internet secara 3S (Semak Sebelum Sebar).

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa; Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (B); Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Mohd Kamil Hashim dan Guru Besar SK Ulu Melaka, Rizal Mohd Yusof. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *