Pengunjung LIMA’2025 dipelawa memeriahkan Malam Kilauan Cahaya di Istana Arau – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
21 MEI 2025

Para pengunjung yang dalam perjalanan balik ke destinasi asal masing-masing melalui jalan darat dari Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’2025) diundang untuk memeriahkan Malam Kilauan Cahaya (MKC) Istana Arau 2025.

Ia bakal diadakan pada Jumaat 23 Mei dan Sabtu 24 Mei 2025 ini, mulai pukul 9.00 hingga 11.00 malam di pekarangan Dataran Istiadat Istana Arau

Acara gemerlapan ini dianjurkan bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan juga Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan cemerlang Baginda.

Kali terakhir MKC diadakan secara tahunan sebelum itu pada tahun 2019 iaitu sebelum Covid-19.

SELAMAT BERANGKAT TIBA

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian sebaik selamat berangkat tiba di Jeti Kuah, Langkawi bagi memenuhi undangan menghadiri Pameran LIMA’2025.

Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda sulung, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail telah disambut oleh Pengarah Cawangan Khidmat Sumber Manusia, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Pertama Mohd Amin Mat Tahir dan Timbalan Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Mohd Hasnan Mohd Hanafiah dan Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim.

Sementara itu, Pegawai Seranta Baginda, Muhamad Syafiq Mohd Zai memaklumkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk pameran lampu-lampu hiasan dan persembahan yang menggabungkan elemen tradisional dan moden akan disajikan.

GELERI DIRAJA ARAU

Juga diadakan pameran oleh pelbagai agensi dan pertubuhan seperti Galeri Diraja Arau, Rejimen 504 Askar Wataniah, Polis Diraja Malaysia, Persatuan Woodball Negeri Perlis, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), MyUS Venture dan KAB Gold.

Turut disediakan ialah ruang foto eksklusif, tayangan khas video Duli-Duli Tuanku, serta pertunjukan bunga api jika cuaca baik.

Mengenai LIMA’2025, sejak penubuhannya, merupakan antara pameran maritim dan aeroangkasa terkemuka di rantau Asia Pasifik.

EDISI KE-17

Tahun ini adalah edisi ke-17 dianjurkan oleh Malaysia yang mana ribuan pengunjung akan melalui Jeti Kuala Perlis untuk ke pulau lagenda tersebut.

Raja Muda berharap agar warga Perlis khususnya Kuala Perlis akan memastikan kawasan sekitar berada dalam keadaan bersih dengan landskap cantik dan parkir-parkir selamat.

Semua pihak juga perlu
meraikan para pengunjung dengan penuh beradab dan mesra dan kedai-kedai makanan menyajikan juadah yang enak dengan harga berpatutan serta perkhidmatan yang efisyen supaya mereka akan mahu kerap kembali lagi ke negeri yang ‘Damai Dan Menawan’ ini di lain masa nanti. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *