IMC KLCC sedia terima lebih 1,700 petugas media tempatan, antarabangsa – Fahmi

Oleh: Sholina Osman
22 MEI 2025

Pusat Media Antarabangsa (IMC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) kini bersedia menerima lebih 1,700 petugas media tempatan dan antarabangsa.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, capaian Internet juga stabil dan laju.

“Hasil usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyediakan beberapa kemudahan termasuk tiga unit “5G in a box” bersaiz besar dan 26 unit bersaiz kecil yang dipasang di beberapa lokasi sepanjang persidangan,” katanya dalam hantaran di FB.

Terdahulu Fahmi melakukan tinjauan di IMC sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan berpuas hati segala persiapan berjalan lancar.

MENDAPATI KELAJUAN INTERNET

Fahmi berkata, sehingga kini beliau mendapati kelajuan Internet amat baik, dengan sesetengah lokasi mencatatkan 300 hingga 600 Mbps, manakala hampir 1 Gbps di pusat media.

“Ini bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kemudahan terbaik untuk liputan Sidang Kemuncak ASEAN yang turut merangkumi dua mesyuarat peringkat tinggi iaitu ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China,” katanya.

Fahmi berkata, untuk maklumat tepat dan sahih, rujuk kepada sumber berita rasmi bagi mengelakkan penyebaran info palsu.

Tambahnya, BERNAMA merupakan media rasmi dan penyelaras IMC bagi sidang kali ini, manakala RTM adalah penyiar rasmi.

“Kita terus bersedia menjelang 26-27 Mei 2025,” ujar Fahmi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *