Isu Gaza, perkukuh ikatan negara anggota bakal dibincang Sidang Kemuncak ASEAN – PMX

22 MEI 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata situasi di Gaza, usaha memperkukuh ikatan sesama negara anggota, kepentingan ekonomi dan perdagangan serantau, serta inisiatif melonjakkan pelaburan dalam kalangan negara ASEAN antara isu utama yang akan dibincangkan dalam Pemukiman Pemimpin ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Perkara ini beliau telah maklumkan dalam Sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya malam tadi (21 Mei 2025).

“Saya turut menekankan kepentingan projek Grid Tenaga ASEAN sebagai satu langkah besar dalam memperkukuh kerjasama tenaga di peringkat serantau,” katanya dalam hantaran di FB.

Beliau berkata, Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, tekad untuk terus memacu ASEAN ke hadapan sebagai sebuah kuasa serantau yang berprinsip, dengan hala tuju ekonomi yang jelas dan mampan.

PEMBAHARUAN EKONOMI DOMESTIK

“Menyentuh isu tarif yang dikenakan Amerika Syarikat, saya tegaskan bahawa keutamaan Malaysia ketika ini adalah terhadap pembaharuan ekonomi domestik selain memperluas kerjasama melalui ASEAN dan rakan utama seperti China, India, Pakistan serta memperkukuh hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU),” katanya.

Beliau berkata, Malaysia kekal komited sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, meneruskan hubungan dengan rakan dagang tradisional seperti China dan Amerika Syarikat, di samping meneroka pasaran baharu termasuk menjalin hubungan dagang dengan Rusia.

“Sebelum pulang, saya berkesempatan beramah mesra dengan para pengamal media termasuk kenalan lama sambil mengimbas kembali momen-momen terdahulu serta bertukar pandangan mengenai isu-isu semasa dan global,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *