






Oleh: Sholina Osman
23 MEI 2025
Peluang yang ditampilkan menerusi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) perlu dioptimumkan oleh pihak berkepentingan bagi mengenalpasti aset-aset serta peralatan terbaik.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, menerusi penganjuran LIMA’25, pihak terlibat dapat mengenalpasti aset bersesuaian khususnya dalam membangunkan Angkatan Masa Hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Titah baginda, LIMA’25 juga mempunyai faktor penarik yang amat kondusif untuk memperkasakan pembangunan industri pertahanan di Langkawi.
“Ia terbukti menjadi medan unggul pertemuan antara menteri pertahanan kanan dan pegawai tertinggi angkatan tentera.
JALINAN HUBUNGAN BAIK
“Malah, LIMA’25 juga mengukuhkan jalinan hubungan baik, kerjasama strategik, platform pertukaran idea dan mekanisme baharu dalam meningkatkan kerjasama serta pertukaran pertahanan dengan mewujudkan penglibatan dua hala dalam menangani isu keselamatan serantau serta global secara holistik,” titah Baginda selepas berkenan menyaksikan demostrasi oleh PDRM di Resort World Langkawi (RWL), bersempena LIMA’25 hari ini.
Baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda, Waris Yang Ke-Dua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
SERAMAI 136 PEGAWAI
Persembahan demostrasi menyelamat itu membabitkan penglibatan seramai 136 pegawai dan anggota PDRM meliputi pelbagai elemen serta aset.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan melawat kapal TCG Buyukada milik Turki dan kapal BNS Khalid Bin Walid milik Bangladesh.
Di samping itu, Baginda juga berkenan meluangkan masa melawat Kapal Diraja (KD) Lekiu yang merupakan milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). – JM
