MCMC, MINDEF meterai perjanjian pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh

Oleh: Sholina Osman
23 MEI 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) hari ini memeterai perjanjian dengan Kementerian Pertahanan
Malaysia (MINDEF) mengenai pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh untuk kegunaan pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dalam kenyataan media MCMC dan MINDEF memaklumkan perjanjian
tersebut telah ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dengan Kementerian Pertahanan yang diwakili oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Lokman Hakim Ali.

Ia diadakan bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’2025) yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri
Mohamed Khaled Nordin.

Perjanjian ini sebagai simbolik kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha memperkasa keupayaan serta kesiapsiagaan sistem pertahanan negara menerusi penyediaan infrastruktur ketenteraan kritikal berteraskan teknologi komunikasi dan keselamatan.

KOMITMEN BERTERUSAN KERAJAAN

Selain itu, perjanjian ini turut melambangkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa keselamatan negara melalui pendekatan kolaboratif antara sektor awam dengan pertahanan.

Menerusi perjanjian ini, MCMC dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bersama-sama melaksanakan inisiatif strategik menyeluruh bagi
pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh TUDM.

Sistem radar yang baharu ini bakal memperkukuh keupayaan pemantauan dan kawalan
ruang udara di wilayah selatan Semenanjung Malaysia dan secara langsung menyumbang kepada pengukuhan keselamatan dan kedaulatan negara.

Sokongan ini adalah sejajar dengan pendekatan Whole-of-Government (WoG) yang mengutamakan sinergi antara agensi bagi mencapai aspirasi nasional.

Hadir sama ke majlis ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi,
Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ahli Suruhanjaya MCMC, Jeneral (B)Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Mejar
Jeneral Datuk Muhammad Tarminzi Mustapha TUDM (mewakili
Panglima Tentera Udara) serta barisan pengurusan tertinggi daripada MINDEF dan MCMC. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *