






Oleh: Sholina Osman
24 MEI 2025
Domain Daratan masih relevan dalam konteks operasi bersama melibatkan aset-aset maritim dan aeroangkasa walaupun tidak diberi fokus secara khusus sepanjang penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, aset-aset udara dan perairan seperti pasukan khusus, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan sebagainya merupakan keperluan untuk kompenan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Titah baginda, untuk kegunaan ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), LIMA’25 menjadi platform dalam memperkenalkan pelbagai jenis aset serta peralatan bagi sistem Pusat Perintah, Kawalan, Komunikasi, Komputer, Perisikan, Pengawasan dan Peninjauan (C4ISRT).
“Aset-aset ini boleh mengukuhkan keupayaan dan kapabiliti ATM secara umumnya di dalam bidang-bidang yang berkaitan.
PEMBANGUNAN SOSIO-EKONOMI
Ia juga memperkasakan pembangunan sosio- ekonomi rakyat tempatan dalam sektor pelancongan serta pembangunan industri dan perniagaan tempatan yang berkaitan,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyaksikan demostrasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Resort World Langkawi (RWL) bersempena LIMA’25.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Mejar (Kehormat) Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda berdua iaitu Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, LIMA’25 membuka peluang-peluang pembangunan baharu bagi Industri Pertahanan Maritim dan Aeroangkasa di Langkawi serta kawasan-kawasan berdekatan termasuk Perlis.
“LIMA’25 membuka peluang kepada pemain industri pertahanan tempatan untuk berkolaborasi dan berkerjasama dengan syarikat-syarikat dari industri pertahanan antarabangsa seperti Airbus (UK), MBDA (Perancis), Kongsberg (Norway), Korea Aerospace Industries (KAI) dan sebagainya,” titah Baginda.- JM
